|
Dasar kerajaan mewajibkan pelajar lulus subjek Bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberi impak terdapat proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di bilik darjah.
Penguasaan sesuatu bahasa tidak semestinya berlaku dalam keadaan yang formal yang berlandaskan kepada sukatan atau modul yang digubal. Sebagai contoh penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan anak-anak berlaku sejak kecil lagi iaitu di rumah. Tidak ada kurikulum tertentu disediakan, tidak ada pendekatan sistematik yang digunakan tetapi melalui interaksi sama ada secara verbal atau bukan-verbal.
Dalam hal ini kemahiran menguasai bahasa Inggeris seharusnya tidak terbatas di dalam kelas sahaja tetapi perlu diperluas ke luar kelas. Aktiviti-aktivitinya juga tidak semestinya berbentuk pembelajaran secara khusus tetapi lebih kepada pengintegrasian kemahiran generik dalam bentuk simulasi, permainan, tontonan dan persembahan.
Pernah satu ketika para remaja yang berminat dengan lagu-lagu Hindi atau lagu-lagu Latin mampu mendendangkannya dengan begitu baik sekali. Malah mereka mampu menghafal lirik lagu tersebut walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami maksudnya.
Perkara yang ingin saya perkatakan di sini ialah jika sesuatu aktiviti itu menarik atau menyeronokkan, maka seseorang itu akan mencubanya tanpa berputus asa. Sebaliknya jika aktiviti itu tidak menarik atau tidak menyeronokkan, maka aktiviti tersebut gagal untuk mendapat tempat di jiwa pelajar.
Oleh itu guru harus kreatif dalam merancang pelbagai aktiviti yang boleh diaplikasikan oleh pelajar tanpa menjadikannya sebagai suatu bebanan. Para pelajar juga harus berfikiran positif dan tidak membuat anggapan bahawa mempelajari bahasa itu merupakan satu proses yang rumit serta membosankan.
Perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi melalui pelbagai elemen yang terdapat dalam persembahan multimedia mampu memudahkan proses pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Sesuatu yang susah itu jika dirancang melalui kaedah yang menyeronokkan mampu mempengaruhi jiwa seseorang malah ia akan menjadi daya penggerak ke arah kejayaan.
Oleh DR. ISMAIL ZAIN
|